Sarawak sasarkan tiga syarikat tempatan Bumiputera disenarai di Bursa Malaysia menjelang 2030

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk menyenaraikan tiga syarikat Bumiputera tempatan di Bursa Malaysia menjelang tahun 2030.

Ia antara langkah utama memperkasakan penyertaan golongan itu dalam arus ekonomi perdana.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada kerangka pembangunan baharu dikenali sebagai 3-7-20 yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035 (SBB2035).

“Selain sasaran penyenaraian syarikat, kerajaan turut menyasarkan pewujudan tujuh syarikat Bumiputera bertaraf ‘Champion’ dalam sektor strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Ia turut melonjakkan 20 peratus perusahaan mikro menjadi syarikat Sendirian Berhad menjelang tahun yang sama.

“Ia bukan sekadar angka, sebaliknya satu strategi jangka panjang untuk melahirkan syarikat Bumiputera yang benar-benar berdaya saing, kukuh dan memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais.

Beliau berucap sempena Program Road to IPO: Edisi Sarawak anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di Kuching hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Tengah menekankan kepentingan menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh bagi mencapai hasrat tersebut, termasuk kemudahan pembiayaan, tadbir urus korporat yang mantap, latihan peningkatan kapasiti dan akses ke pasaran modal.

“Penyenaraian di Bursa Malaysia akan membuka akses kepada modal yang lebih besar, memperkukuh struktur korporat serta meletakkan syarikat-syarikat ini pada landasan pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan,” jelasnya.