Sukan sekolah landasan cungkil bakat atlet pelapis Sarawak

BETONG: Penganjuran temasya sukan peringkat sekolah-sekolah di Sarawak adalah landasan terbaik bagi mencungkil atlet berbakat baharu dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, ia dapat membentuk skuad pelapis negeri bagi menghadapi kejohanan lebih mencabar.

“Sebagai contoh Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Asia Tenggara (SEA) dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Betong Kali Ke-21 di Kompleks Sukan Betong, hari ini.

Sebanyak 22 kontinjen, termasuk sekolah-sekolah rendah dari Zon Betong, telah menyertai kejohanan ini, menjadikannya antara penganjuran yang paling meriah dan menyeluruh dalam sejarah Kejohanan MSS Bahagian Betong.