SAMARAHAN: Sarawak akan dapat mengenal pasti bakat anak muda tempatan melalui Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata kejohanan itu sekali gus dapat membentuk pasukan takraw Sarawak yang lebih mantap seterusnya diketengahkan di sukan kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita mahu bakat-bakat dan potensi dimiliki belia di negeri ini dapat ditonjolkan,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 di Stadium Tertutup Kota Samarahan di sini, hari ini.
Kejohanan terbabit anjuran Persatuan Sepak Takraw (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Rubiah juga gembira kejohanan ini mendapat sambutan penyertaan dari 10 bahagian seluruh Sarawak dan juga turut melibatkan penyertaan belia wanita.
“Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak ini juga berperanan sebagai tapisan awal untuk mengenal pasti pemain berpotensi tinggi yang boleh diketengahkan, termasuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang,” ujarnya.
Turut hadir ialah Presiden PSS, Dato Ismail Abang Saufi, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak serta Timbalan Presiden PSS, Mohammad Nizam Wang.
