KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) menganjurkan Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025 di sini bermula 20 Jun hingga 29 Jun 2025.
Orang ramai dijemput hadir dengan hadiah cabutan bertuah seperti pakej Umrah dan motosikal juga disediakan kepada pengunjung sepanjang minggu sambutan itu.
Acara sambutan termasuk Ceramah Perdana Maal Hijrah, Pertandingan Badminton, Pickleball, Boling, Pertandingan Berzanji dan Marhaban, pertandingan Nasyid, Majlis Kesyukuran serta Doa Awal Tahun.
Di samping itu, Pameran Foodies Street dan Flea Market, Pameran Infokiosk, Program Kesihatan serta Pameran Badan Beruniform bermula 27 Jun sehingga 29 Jun 2025.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, kemuncak acara ialah majlis penangguhan rasmi festival itu pada 29 Jun.
“Ini dijadual disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Fadillah Yusof,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pengibaran Bendera Festival Maal Hijrah 1447H/2025 di Anjung Utama Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai atur cara dan pengisian program, sila layari laman rasmi festival di www.fmhlakmns.com.
