S-CaT Fair tawarkan pelbagai peluang kerjaya, berlangsung 5-6 Julai di BCCK

KUCHING: Peluang untuk menyertai industri tenaga semakin terbuka luas apabila Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (S-CaT Fair) 2025 kembali dengan menampilkan zon minyak dan gas sebagai tarikan terbaharu.

Zon istimewa yang dikendalikan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) itu bakal menghimpunkan nama-nama besar dalam sektor tenaga seperti PETRONAS, ENEOS Xplora, PTTEP, Mubadala, Brooke Dockyard, Petra Energy dan banyak lagi.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, S-CaT Fair tahun ini akan berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Pesta tersebut menjanjikan pelbagai peluang buat golongan belia dan pencari kerja khususnya dalam sektor tenaga yang kian berkembang pesat di Sarawak.

“Pameran ini dijangka menarik lebih 18,000 pengunjung secara fizikal dan 50,000 penonton dalam talian dari seluruh negeri. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan acara tersebut,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, lebih 50 pempamer akan menyertai pameran kali ini, termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, syarikat korporat, penyedia bantuan kewangan serta pelbagai agensi kerajaan dan teknikal.

Antara pengisian utama S-CaT Fair 2025 ialah sesi temuduga terbuka (walk-in interview) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menawarkan sebanyak 1,561 kekosongan jawatan yang merangkumi pelbagai sektor seperti pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

PERKESO juga akan mengadakan Sesi Eksplorasi Kerjaya bagi membantu pelajar dan pencari kerja mengenal pasti haluan masa depan, di samping memahami kehendak dan keperluan pasaran kerja semasa.

S-CaT Fair turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan melalui kolaborasi bersama PETROS, PERKESO dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), antaranya termasuk Pameran Maklumat Inisiatif Sarawak, Kuiz Mega Sarawak: Taman Permainan STEM, Pertandingan Kemahiran serta Hari Blockchain dan Kripto 2025.

“S-CaT Fair kini menjadi platform utama pendidikan dan kerjaya tahunan negeri Sarawak. Tahun lalu, edisi 2024 berjaya menarik lebih 29,000 pengunjung – dengan 20,240 hadir di Kuching dan 8,828 di Sibu,” ujar Roland.

Beliau berkata, sejak mula diperkenalkan pada 2012 oleh Unit Pembangunan Tenaga Kerja (WDU), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama TEGAS dan diselia kementeriannya sejak 2017, program ini telah berkembang menjadi pusat sehenti yang komprehensif untuk pelajar, belia dan ibu bapa mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, peluang kerjaya dan bantuan kewangan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.