KUCHING: Persidangan khas sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berlangsung pada 7 Julai depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sehubungan itu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal membentangkan sesuatu pada persidangan itu.
“Butiran lanjut, hanya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahu kerana beliau yang akan membentangkannya, ”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Majlis Daerah Sarikei bersama URBANICE Malaysia untuk Matlamat Pembangunan Mampan(SDGs) Kajian Tempatan Secara Sukarela(VLR), di sini, hari ini.
Dr Sim juga berkata, segala agenda daripada Premier Sarawak dan beliau tidak mempunyai maklumat terperinci berkaitan persidangan itu.
Terdahulu, satu notis rasmi yang ditandatangani Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dihantar kepada semua 82 ADUN Sarawak.
Ia memaklumkan bahawa persidangan sehari itu akan bermula jam 9.00 pagi selaras Peraturan Mesyuarat 8(3), Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak.
