Dana Industri Belia Kreatif Sarawak diperluas

KUCHING: Dana Industri Belia Kreatif Sarawak bakal diperluas kepada penggiat industri kraf anak tempatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini dana itu lebih tertumpu kepada bidang muzik, teater, video dan permainan digital.

Berikutan itu pihaknya berhasrat meluaskan jangkauan dana terbabit kepada sektor kraf.

“Langkah ini bertujuan memastikan lebih ramai anak muda berbakat dalam bidang kreatif menerima sokongan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Program ASPIRE (2023–2025) dan Pelancaran Buku Kursus Keringkam Sarawak anjuran Muzium Brooke dengan pembiayaan Yayasan Hasanah, di sini, hari ini.

Program selama dua tahun itu melibatkan 50 remaja dari institusi pemulihan dan menyaksikan seramai 34 peserta menerima sijil kemahiran sulaman keringkam sekali gus membuka peluang menjadi usahawan atau penggiat seni warisan.