91 kontinjen sertai perarakan Budaya Gawai Dayak 2025

KUCHING: Sebanyak 91 kontinjen menyertai Perarakan Budaya Gawai Dayak 2025 di Tebingan Sungai Kuching, di sini hari ini.

Perarakan sejauh 1.2 kilometer (km) ini melibatkan lebih 3,000 peserta yang mempersembahkan busana tradisional, muzik etnik serta tarian masyarakat Dayak bermula dari Bangunan Tun Jugah ke Pentas Utama Tebingan Sungai Kuching.

Perarakan dipimpin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diiringi Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2025, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta barisan pemimpin kanan kerajaan negeri.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyerikan lagi acara ini.

Komuniti Orang Ulu selaku tuan rumah perarakan tahun ini dan turut disertai Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak dan delegasi Dayak Kalimantan, Indonesia.

Buat julung kalinya juga perarakan ada sebanyak 12 kenderaan berhias yang dipertandingkan mengikut kategori etnik Orang Ulu, Iban dan Bidayuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *