KUCHING: Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bertujuan memberi peluang kedua kepada individu untuk memperbaiki diri, membina semula kehidupan dan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, PKM dilihat sebagai pendekatan yang lebih inklusif dan bersifat membina, berbanding hukuman konvensional.
“Ia memberi ruang kepada pesalah, terutamanya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, untuk membina semula keyakinan diri dan nilai sahsiah melalui penglibatan aktif dalam program khidmat masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Ilmu dan Bakti di Surau Nurul Hilal, Kampung Pulo Hilir, Petra Jaya hari ini.
Nancy berkata, program ini digerak berlandaskan tiga objektif utama iaitu membangkitkan keinsafan dan nilai kerohanian, membina keperibadian yang berdisiplin dan tahan uji serta membantu pelatih bersedia kembali ke dalam masyarakat dengan yakin dan beretika.
PKM adalah satu bentuk hukuman atau perintah mahkamah yang dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan, khususnya pesalah muda dan kanak-kanak.
Mereka tidak dikenakan hukuman penjara, tetapi dikehendaki melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat tanpa bayaran untuk tempoh tertentu.
Setakat Mei 2025, terdapat 30 kes PKM aktif di Sarawak, melibatkan 22 pesalah muda, tujuh pesalah kanak-kanak dan seorang pesalah dewasa, yang sedang menjalani pelbagai bentuk latihan dan aktiviti komuniti di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
