Kes berulang penagih dadah membimbangkan, pendekatan komprehensif dipergiat

SAMARAHAN: Sarawak mempunyai kes berulang dalam kalangan penagih dadah yang membimbangkan tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Sarawak merekodkan sebanyak 4,602 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah tahun ini sehingga April.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 77.68 peratus (3,575 tangkapan) merupakan tangkapan melibatkan kesalahan positif urin.

“Kes yang membimbangkan adalah peningkatan kes berulang dalam kalangan penagih dadah di Sarawak menyaksikan jumlah kes direkodkan melonjak sebanyak 120 peratus daripada 319 kes kepada 703 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Antidadah Tahun 2025 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.

Fatimah berkata, lebih membimbangkan, golongan belia merupakan kelompok paling terkesan dengan peningkatan ketara daripada 1,392 orang kepada 2,840 orang, peningkatan sebanyak 104 peratus.

“Ini memberi gambaran jelas bahawa usaha pencegahan mesti bermula lebih awal, di peringkat sekolah dengan sokongan padu daripada guru dan ibu bapa,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya Sarawak mempergiat pendekatan komprehensif dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan, rawatan, pemulihan serta penglibatan komuniti.

Pendekatan itu katanya, dilaksanakan menerusi Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sejak 2019.

“Usaha membanteras gejala itu tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pendidikan awal, ketahanan komuniti serta sokongan berterusan kepada individu yang ingin pulih,” katanya.