Pertandingan memancing udang galah

LUNDU: Nik Mohd Arif Nik Haron dari Kelantan, yang kini berkhidmat dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), muncul johan Pertandingan Memancing Udang Galah di Waterfront Lundu, hari ini.

Pertandingan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu dengan kerjasama Geng Kalan Kubu itu menyaksikan Nik Mohd Arif membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta hamper.

Tempat kedua dimenangi Abdul Firdaua Dumilanau Hasan yang menerima wang tunai RM1,000 dan hamper, manakala tempat ketiga disandang oleh Mohd Shahfizan Tahar yang membawa pulang RM750 dan hamper.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Tanjong Datu, YB Azizul Annuar Pehin Sri Adenan.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu pertandingan tersebut berjaya menarik penyertaan 107 pemancing dari pelbagai kawasan termasuk Kuching, Samarahan, Miri dan juga dari negara jiran Brunei, akan dijadikan acara tahunan.

Beliau turut mengumumkan bahawa pertandingan tahun hadapan akan digabungkan bersama Pesta Regata Batang Kayan Lundu.

Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, Abdul Razak Abdul Wahab; Ketua Pergerakan Pemuda PBB N3 Tanjong Datu, Kaunselor Mohd Rhadzie Kassim; Pemanca Jumahdi Sabian; Setiausaha Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, Haji Jamsari Ahamad; Penghulu Awang Sulong Awang Drahman; dan Kaunselor Mohammad Naieem Shamsudin.