KUCHING: Sebuah lagi stesen PETROS Tenaga Pelbagai “Multifuel Station” (MFS) Ke-11 akan dibuka di Batu Kawa di sini, tidak lama lagi.
Perkembangan positif itu dimaklumkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak Energy (SEDCE) susulan lawatan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian ke tapak projek tersebut padah hari ini.
Ia untuk melihat kemajuan stesen itu dan ciri-ciri kemudahan yang disediakan.
SEDCE dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, MFS Batu Kawa akan menjadi stesen “flagship” kedua di negeri ini dengan keupayaan membekalkan gas hidrogen.
“Struktur fizikal stesen telah siap sepenuhnya dan kini dalam fasa akhir penyelarasan dengan pihak berkuasa kawal selia sebelum memulakan operasi.
“Stesen ini akan menjadi komponen penting dalam rangkaian pengisian hidrogen Sarawak, menyokong aspirasi negeri ke arah tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan itu.
MFS Batu Kawa dibina berkonsepkan tenaga pelbagai yang merangkumi bahan api konvensional, pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) dan pengisian hidrogen.
Ia akan menerima bekalan hidrogen daripada stesen flagship pertama, MFS Darul Hana, yang memiliki loji pengeluaran hidrogen di tapak berkapasiti 150kg.
Menariknya, model pengedaran bekalan hidrogen dari Darul Hana ke Batu Kawa akan menggunakan sistem pengisian mudah alih “Mobile Hydrogen Refuelling System” (MHRS) melalui pengangkutan treler tiub, satu pendekatan pertama seumpamanya di rantau ini.
Dalam usaha memperkasa ekonomi sosial, SEDCE juga telah melantik Koperasi Bomba & Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) sebagai pengendali MFS Batu Kawa bagi menyediakan sumber pendapatan mampan kepada ahli koperasi.
Sebagai anak syarikat PETROS, SEDCE memegang tanggungjawab utama membangunkan rantaian nilai hidrogen serta perniagaan hiliran minyak dan gas runcit di Sarawak melalui jenama PETROS MFS.
Setakat ini, 10 stesen MFS telah beroperasi sepenuhnya di seluruh negeri iaitu MFS Darul Hana (Jalan Tun Salahuddin), MFS Daro (Jalan Matu-Daro), MFS Kanowit (Jalan Kubu), MFS Kuala Matu (Jalan Daro–Kuala Matu), MFS Brooke Drive (Sibu), MFS Selangau (Pan Borneo-Selangau), MFS Tatau (Pan Borneo-Tatau), MFS Kapit (Jalan Bleteh), MFS Sungai Asap (Jalan Bintulu-Bakun) dan MFS Jepak (Kampung Jepak).
Selain Batu Kawa, empat lagi stesen flagship sedang dirancang di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri dengan pembinaan di Bintulu (Jalan Sultan Iskandar) dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini.
Stesen ini dijangka menjadi tulang belakang kepada rangkaian pengisian hidrogen Sarawak, terutamanya di bandar-bandar utama.
Sementara itu, tiga lagi stesen sedang dalam pembinaan, dengan lebih 40 tapak dikenal pasti dan diproses untuk pembangunan di seluruh negeri.
Kesemua stesen baharu ini akan dilengkapi dengan kemudahan pengecasan EV selain penyediaan bahan api konvensional, sejajar dengan usaha memperluaskan akses tenaga bersih kepada rakyat Sarawak.
