PMX zahir ucapan takziah kepada Premier

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri menzahirkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isteri tercinta, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Dalam entri terbaru di laman Facebook rasminya, beliau berharap Premier Sarawak dan keluarga terus sabar dan tabah menerima ujian ini.

Beliau sekeluarga turut menitipkan doa semoga ruh Allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar buat negeri dan negara, khususnya dalam landskap kebajikan dan pemerkasaan wanita di Sarawak.

Beliau menyatakan kekagumannya terhadap keperibadian Allahyarhamah yang dikenali sebagai seorang wanita lemah lembut, berjiwa penyayang serta aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Jelasnya, Allahyarhamah bukan hanya seorang isteri pemimpin, tetapi pendamping setia yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan politik dan kepimpinan Premier Sarawak.

Sumbangannya kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti, cukup besar dan dikenang ramai, ujarnya.

Zahid Hamidi yang sepatutnya kembali ke ibu negara pagi ini selepas lawatan dua hari di Sarawak menangguhkan penerbangannya untuk melawat Premier Sarawak di kediamannya pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Dalam pada itu, beberapa barisan pemimpin negeri turut sama menziarahi kediaman Premier Sarawak.

Antaranya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan kerajaan serta ahli keluarga terdekat.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada jam 3.34 pagi tadi.

Majlis penghormatan terakhir berlangsung di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum Allahyarhamah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.

M