KUCHING: Sarawak melangkah ke hadapan dalam agenda transformasi digital apabila melancarkan Sistem I-Syariah sebuah platform pintar yang mengintegrasikan semua maklumat berkaitan kehakiman syariah di negeri ini.
Pelancaran sistem berkenaan disempurnakan sempena Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KoSKES) 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, hari ini, yang turut meraikan sambutan 70 tahun penubuhan Majlis Islam Sarawak (MIS).
Mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata I-Syariah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pelaksanaan e-Kerajaan dan mendigitalkan sistem kehakiman Islam secara menyeluruh.
Menurut beliau, sistem yang dibangunkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) bersama Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS) ini memainkan peranan penting sebagai pusat data yang selamat dan bersepadu serta mampu mengurus kes syariah dengan lebih efisien melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“I-Syariah bukan hanya mempercepat urusan seperti pendaftaran perkahwinan dan pengurusan kes, malah menjadi jambatan digital yang menghubungkan rakyat dengan institusi kehakiman syariah di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Majlis Perasmian Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KoSKES) 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Awang Tengah menegaskan sistem ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dalam semua sektor, termasuk perkhidmatan awam dan kehakiman Islam.
Tegasnya, Sarawak mahu menjadikan I-Syariah sebagai model tadbir urus Islam yang adil, telus dan berintegriti, serta responsif terhadap kehendak zaman yang semakin berasaskan teknologi moden dan digitalisasi.
Konvensyen KoSKES 2025 menghimpunkan lebih 500 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei, sekaligus membuka ruang kepada kerjasama serantau dalam memperkasa sistem kehakiman syariah moden seiring Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
