Keputusan STPM Sarawak menurun

KUCHING: Walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk memperkukuh minat pelajar menyambung pengajian ke Tingkatan Enam, keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Sarawak mencatatkan penurunan.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli ketika mengulas perkembangan itu berkata, penurunan tersebut mendorong pihaknya untuk menyemak semula pendekatan sedia ada dan mengenal pasti punca utama yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi calon.

“Fokus kami kini untuk memperluaskan pendedahan kepada pelajar Tingkatan Enam tentang teknik menjawab soalan dengan betul, di samping memperkukuh latihan kepada guru-guru,” katanya selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2024 di Yayasan Sarawak, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa analisis menyeluruh terhadap faktor dalaman dan luaran akan dijalankan bagi merangka pelan tindakan bersesuaian.

Mengakui wujudnya kekurangan guru khusus Tingkatan Enam di beberapa sekolah, Omar berkata kekangan tersebut buat masa ini ditangani menerusi penempatan guru daripada aliran perdana bagi mengisi kekosongan sementara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh mengenai kemerosotan prestasi beberapa sekolah yang sebelum ini sering menunjukkan pencapaian cemerlang dalam STPM.

“Banyak kemungkinan yang perlu dikaji secara terperinci. Apa yang pasti, pelajar-pelajar kita masih berpeluang memperbaiki pencapaian masing-masing melalui usaha berterusan,” tambahnya.