KUCHING: Sejumlah 12 sekolah menengah di Sarawak mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) melebihi 3.00.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, sekolah-sekolah terbabit ialah SMK Sacred Heart, SMK Chung Hua, SMK Bandar Sibu, SMK Rosli Dhoby, SMK Methodist dan SMK Tung Hua, masing-masing dari daerah Sibu; SMK Merbau, SMK Chung Hua dan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang dari Miri; SMK Green Road dan SMK Bako dari Kuching serta SMK Saribas dari Betong.
“SMK Sacred Heart, Sibu turut mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Peringkat Kebangsaan berdasarkan pencapaian cemerlang pelajarnya dalam peperiksaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Pemperiksaan Keputusan Sijil Tertinggi Pelajaran Malaysia (STPM 2024) di Yayasan Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Omar, bagi keputusan keseluruhan calon, seramai 92 pelajar dari Sarawak memperoleh PNGK 4.00, mewakili 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan calon STPM negeri ini.
Jumlah itu katanya, meningkat berbanding 88 calon atau 1.55 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.06 peratus.
Sementara itu Omar berkata, seramai 5,612 calon, iaitu 98.16 peratus daripada jumlah keseluruhan calon STPM di Sarawak, berjaya memperoleh kelulusan penuh dalam empat atau lima mata pelajaran.
Kesemua 5,717 calon yang menduduki peperiksaan juga layak dianugerahkan Sijil STPM 2024, ujar beliau lagi.
