Hubungan dagangan Sarawak, Wilayah Utara Australia dipertingkat

KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini mengalu-alukan kedatangan Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asian dan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Migrasi dan Penduduk Wilayah Utara Australia, Robyn Cahill yang mengadakan kunjungan rasmi ke negeri ini mulai hari ini hingga 26 Jun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyambut kedatangan Robyn Cahill yang turut ditemani Ketua Staf, Brett Hannam, Timbalan CEO Jabatan Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asian, Kelly Ralston, Pemangku Pengarah Kanan Pejabat Hubungan Asian, David Orr dan Pengarah Pengajian NT, Renee Tennent.

Rombongan dari Australia itu kemudian mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, ndustri dan Pelaburan, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Kementerian Tenaga dan Kele4starian Alam Sekitar, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dan wakil Unit Perancangan Ekonomi dan InvestSarawak hadir sama.

Kedua-dua belah pihak mengiktiraf jaringan kerjasama erat antara Sarawak dan Wilayah Utara Australia termasuk kekayaan sumber asli yang dimiliki seperti petroleum, galian, tanah pertanian dan tanah yang masih luas serta potensi membangunkan tenaga diperbaharui termasuk solar dan tenaga hidro.

Perbicangan mereka fokus kepada usaha mengeratkan kerjasama dan bertukar-tukar pengalaman dalam sektor penting, pembangunan bakat, latihan vokasional dan pendidikan tinggi, minyak dan gas, pengilangan, kemajuan industri, pelancongan dan ekopelancongan.

Turut dibincangkan ialah perlombongan hijau, pembangunan sumber secara mampan, agropertanian dan keselamatan makanan.

Kedua-dua belah pihak menaruh minat dalam membangunkan sektor perlombongan melalui amalan secara mampan dan bertanggungjawab.

Sarawak turut menaruh minat untuk mempelajari amalan terbaik Wilayah Utara dan Australia mengurus taman negara dan sumber asli dan meningkatkan usaha pemeliharaan dan penggunaan biodiversiti secara mampan.

Awang Tengah dan Robyn Cahill secara bersama bersetuju bagi Sarawak dan Wilayah Utara untuk meningkatkan lagi hubungan dagangan dan pelaburan dan menyatakan Wilayah Utara kekal sebagai sumber import kedua terbesar Malaysia.