Semangat hijrah teras transformasi Sarawak

BINTULU: Perjalanan agung junjungan besar Rasullullah SAW dalam peristiwa Hijrah terus menjadi inspirasi Sarawak untuk mentransformasikan wilayah ini secara keseluruhan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini menuju wilayah yang maju dan makmur melalui pendekatan ekonomi hijau, digitalisasi, keterangkuman sosial dan pembangunan yang lestari.

Menurutnya, sambutan Maal Hijrah 1447 H bertemakan “Ummah Maju Makmur” bertepatan dengan aspirasi Sarawak yang agresif untuk membina umat yang bukan sahaja maju dari segi fizikal dan ekonomi, tetapi turut makmur dalam nilai, ilmu dan akhlak.

“Pendekatan ekonomi Sarawak yang segar dan berani telah membuahkan hasil.

“Melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) kita memacu sektor seperti hidrogen hijau, pertanian moden, pelaburan strategik, dan teknologi digital.

“Ini bukan sahaja mencerminkan visi ekonomi yang progresif, tetapi turut seiring dengan prinsip Islam yang mengangkat kemajuan, daya cipta dan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1447H di sini hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Sarawak kata Abang Johari juga berjaya mencapai kedudukan fiskal yang kukuh dan mencatat pelaburan asing yang meningkat saban tahun.

“Ini hasil dasar yang berintegriti, telus dan berpandangan jauh yang merupakan satu ciri kepimpinan yang seharusnya diteladani umat Islam seluruhnya,” katanya.

Dalam aspek sosial pula, Kerajaan Sarawak tegasnya sentiasa berada di barisan hadapan dalam memacu pembangunan modal insan yang holistik dan inklusif.

Komitmen ini dizahirkan melalui pelbagai inisiatif strategik seperti Pendidikan Percuma yang membuka ruang kesamarataan akses ilmu, Skim Bantuan Khas Ibu Bersalin yang menjamin kesejahteraan awal kehidupan, serta pelbagai program latihan dan pensijilan profesional yang mengangkat kompetensi rakyat, jelasnya,” katanya.