BETONG: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) memainkan peranan penting kepada pelancongan lestari di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana pelancongan lestari di Sarawak perlu tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
“Tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, mudah menyesuaikan diri dan inovatif membentuk tulang belakang asas bagi industri pelancongan yang berkembang maju dan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Penutupan Program ‘Explore Sustainable Tourism 2025’ bertempat di Kolej Komuniti Betong, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Anielia Siam.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti JPPKK, Dr. Riam Chau Mai, Pengarah Kolej Komuniti Betong, Andrew Douglas Gudam dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong merangkap ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Betong, Edwin Agam.
