PRN-13: Sarawak optimumkan penggunaan anggota polis

BINTULU: Polis Sarawak akan mengoptimumkan penggunaan kira-kira 11,500 anggota sedia ada bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, penugasan anggota tempatan akan diberi keutamaan bagi mengurangkan keperluan mendapatkan bantuan anggota dari negeri lain.

Katanya, penempatan anggota akan diselaraskan mengikut keperluan setiap kawasan bagi memastikan operasi keselamatan sepanjang tempoh pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Penugasan anggota akan diselaraskan berdasarkan keperluan di lapangan. Kita akan mengoptimumkan penggunaan anggota sedia ada di Sarawak dan cuba mengurangkan keperluan mendapatkan bantuan dari negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Bengkel Penyelarasan Persiapan PRN Sarawak Ke-13 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini.

Menurutnya, keputusan mengenai keperluan membawa masuk anggota polis dari negeri lain, termasuk jumlah yang diperlukan, masih belum dimuktamadkan dan bergantung pada perancangan operasi serta keperluan tenaga kerja sebenar.

Saifullizan berkata, persiapan turut merangkumi penugasan anggota pada hari pengundian awal mengikut prosedur ditetapkan, selain penglibatan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang PRN terpelihara.

Bengkel selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini menghimpunkan kira-kira 115 pegawai polis dan wakil jabatan berkaitan dari seluruh Sarawak bagi menyelaraskan persiapan operasi pilihan raya.

Bengkel anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak itu turut melibatkan pegawai bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan operasi pilihan raya, termasuk ketua bahagian siasatan jenayah serta pegawai pentadbiran di peringkat daerah.