KUCHING: Nama-nama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dibuat dengan teliti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pandangan dan pendapat rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut perlu diperoleh.
“Ini bagi menggelak sensitiviti dalam kalangan rakyat tempatan. Nama yang dicadang atau dipilih hendaklah sesuai dalam konteks Negeri Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik, bahasa dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Kerajaan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025, hari ini.
Selain itu, katanya, aspek pembangunan ekonomi juga perlu diambil kira.
“Persempadanan semula populasi selalunya menghadapi halangan sistematik kepada peluang ekonomi, memperbesarkan lagi putaran kemiskinan dan menyisihkan sebahagian rakyat khususnya di luar bandar.
“Kalau tumpuan hanya diberi kepada rakyat di bandar sahaja kemungkinan tumpuan kepada pembangunan hanya berpusat di bandar manakala rakyat luar bandar termasuk golongan etnik yang minoriti akan terus terpinggir.
Oleh itu, tegasnya, elakkan pendekatan seolah-olah mendiskriminasikan rakyat bandar dan luar bandar.
“Sekiranya ini berlaku ia boleh melemahkan keyakinan dan menjejas perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik kerana diantaranya berada di kawasan-kawasan tertentu,” kata beliau.
