KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan), 2025 bukan alat politik, sebaliknya kewajipan perlembagaan, keperluan demokrasi dan keperluan untuk pembangunan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor berkata, RUU untuk menambah keanggotaan DUN daripada 82 kepada 99 ahli yang dipilih ini bukanlah cadangan yang tidak rasional.
Tegasnya, ia adalah satu tindakan strategik—tindak balas yang telah lama tertunggak kepada realiti yang telah pun tiba dan berlangsung lebih cepat daripada yang kita boleh perundangkan.
“Apabila jumlah semasa 82 ahli ditetapkan pada 2014, Sarawak mempunyai lebih 1.1 juta pemilih berdaftar.
“Pada tahun ini, dijangkakan jumlah pemilih berdaftar di negeri Sarawak akan mencapai lebih daripada 2 juta (setakat Januari, 2025) iaitu peningkatan hampir 100 peratus pengundi dalam masa lebih sedekad sahaja terutamanya di kawasan separa bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU Dewan Undangan Negeri (DUN) (Komposisi Keanggotaan) 2025 sempena Mesyuarat Khas di DUN Sarawak, hari ini.
Beliau menjelaskan, struktur DUN 82 kerusi masih digunakan sejak 2015, sedangkan beban pekerjaan dan keperluan pengundian telah berubah secara radikal dalam 10 tahun terakhir.
Ini mewujudkan ketidaksamaan dalam timbang berat Demokrasi ekoran ketidakseimbangan dalam nisbah pengundi kepada wakil rakyat di kawasan pilihan raya tertentu, tegasnya.
