PUSA: Kerajaan Sarawak menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) penurunan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding bilangan kes pada tahun sebelumnya.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menunjukkan bahawa trend bilangan remaja hamil sudah semakin menurun sejak 2012 iaitu daripada 3,866 kes kepada 2,000 kes pada 2024 (penurunan sebanyak 48.3 peratus).
“Peratusan ini berbanding jumlah kes baharu antenatal dalam tempoh sama juga menunjukkan trend penurunan daripada 9.1 peratus kepada 7.2 peratus (penurunan sebanyak 1.9 peratus).
“Statistik juga merekodkan trend penurunan kes sebanyak 1.28 peratus pada 2024 (2,000 kes) berbanding 2022 (2,026 kes). Namun, peratusan remaja hamil daripada jumlah kes baharu antenatal juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus 2024 (7.2 peratus) berbanding 2023 (6.6 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penangguhan Program Intervensi Sosial: Kesedaran Dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) peringkat Bahagian Betong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa, dekat sini.
Mohamad Shafizan berkata secara terperinci, statistik remaja hamil di Sarawak bagi 2024 sebanyak 90.6 peratus (1,812 kes) remaja hamil berumur 16 tahun dan ke atas; 96.1 peratus (1,922 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil; 63.6 peratus (1,271 kes) tidak berkahwin semasa
hamil.
“Dari segi bilangan kes, Kuching mencatat bilangan kes tertinggi (482 kes); diikuti Bintulu (320 kes); Miri (302 kes); Sibu (261 kes) dan Samarahan (119 kes). Manakala, dari segi peratusan kehamilan remaja,
Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi (12.9 peratus) diikuti Bintulu (9.0 peratus); Serian (8.3 peratus); Samarahan (8.3 peratus) dan Miri (7.7 peratus),” katanya.
Tambahnya, bagi tempoh lapan tahun, iaitu dari 2016 hingga 2024, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) berkolaborasi dengan Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) untuk mengendalikan sebanyak 75 siri program KAPS di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak.
“Sejak itu, terdapat penurunan ketara dalam bilangan kes remaja hamil bersekolah iaitu daripada 142 kes pada 2016 kepada 78 kes pada 2024 (45.07 peratus).
“Trend penurunan ini memberi semangat kepada Kerajaan Sarawak, melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak dan rakan-rakan strategiknya dalam OSTPC untuk terus mengendalikan program KAPS ini di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak,” ujarnya.
