KAPIT: Seramai 1,000 penduduk dan 124 tuai rumah menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Edison Bugap, Sungai Melekun Balleh, di sini, baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang terkejut dengan sambutan kehadiran majlis tersebut yang membuktikan sokongan padu rakyat kepada pemimpin dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Saya terkejut kerana jumlah yang datang begitu ramai sekali, ini bukti sokongan dan kerjasama semua pihak yang amat baik di Kapit,” katanya ketika majlis itu yang menyaksikan perasmian pembinaan jeti besi dan jalan simen di Rumah Edison Bugap.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM857,000 kepada lebih 60 rumah panjang dengan bantuan sebanyak RM500 sepintu bilik.
Beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang mengumumkan projek pembinaan dewan di Rumah Edison Bugap.
Menurutnya, banyak projek infrastruktur sedang dan akan dilaksanakan di Kapit seperti pembinaan jambatan menyeberangi Batang Rajang tidak dari Nanga Yong dengan kos projek lebih RM300 juta serta pembinaan jalan lebih 2.5 kilometer (km) menghubungkan jalan Song-Kapit dan jalan yang akan dibina oleh Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
“Ketika ini kerajaan sedang membina jalan dari Nanga Tulie (sebelah kiri mudik Batang Rajang) terus ke jambatan Batang Rajang tidak jauh dari Nanga Yong,” tambahnya.
Beliau berkata kemudiannya, jalan ini nanti bila siap akan menjadi jalan penyambung kepada jalan yang akan dibina ke ulu-ulu sungai seperti Sungai Melipis, Sungai Menuan dan Sungai Ibau.
Antara projek lain pula, termasuk pembinaan Kolej Profesional MARA, pembinaan balai polis baharu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram dan Kerajaan juga sudah meluluskan pembinaan hotel baharu serta Dataran Bujang Berani di Kapit.