Tambahan kerusi DUN Sarawak pacu agenda pembangunan holistik

KUCHING: Cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dilihat sebagai langkah strategik bukan sahaja memenuhi tuntutan demografi dan politik semasa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.

Katanya, malah ia memperkukuhkan kestabilan politik dan pembangunan negeri.

Beliau berkata, penambahan kerusi mampu memacu agenda pembangunan holistik dan inklusif yang lebih mampan, sejajar dengan matlamat kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Pertambahan wakil rakyat akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan kawasan pilihan raya dan melancarkan pelaksanaan projek pembangunan melalui kerjasama lebih erat antara kerajaan, agensi dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (DUN) (Komposisi Keanggotaan) 2025 sempena Mesyuarat Khas, di DUN Sarawak, hari ini.

Beliau menegaskan, langkah ini memberi peluang kepada wakil rakyat menumpukan perhatian terhadap keperluan khusus setiap kawasan, terutama di lokasi yang sedang membangun dan mengalami pertambahan penduduk.

Katanya, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik serta kemudahan sosial dapat dirancang dan disesuaikan dengan keperluan tempatan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.