Pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak selaras perlembagaan, bidas tuduhan pembangkang – Fazzrudin

KUCHING: Usul penambahan sebanyak 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sepenuhnya dalam bidang kuasa DUN Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, usul itu akan meningkatkan jumlah
82 kerusi DUN ketika ini menjadi 99 kerusi DUN juga selaras perlembagaan dan menafikan GPS akan menjalankan proses semakan sempadan bagi DUN terbabit.

“Kita di DUN hanya meluluskan bilangan kerusi. Sempadan kawasan akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (Komposisi Keanggotaan) DUN 2025 dalam Persidangan Khas DUN di sini hari ini.

Fazzrudin berkata, sekiranya ada pihak tak puas hati, mereka boleh buat bantahan apabila notis semakan sempadan itu dikeluarkan nanti.

Menurutnya, langkah menambah kerusi DUN adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memastikan Sarawak dapat satu pertiga wakil di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam masa sama, beliau juga membidas dakwaan dua wakil DAP yang menuduh GPS memanipulasi penambahan 17 kerusi DUN itu untuk kepentingan politik.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan oleh Chong Chieng Jen (ADUN Padungan) dan Violet Yong (ADUN Pending) adalah tidak berasas dan melangkaui proses sebenar pembentukan kerusi baharu.