TYT bakal hadiri Sambutan Hari Sarawak di Miri

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak 2025 di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Kunjungan pada jam 11 pagi itu diketuai Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin yang turut diiringi oleh ahli jawatankuasa lain.

Antaranya ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Inigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Miri Galong Luang.

Dalam pertemuan itu, Lee selaku Menteri Bertanggungjawab menyampaikan jemputan rasmi kepada TYT dan Toh Puan ke Sambutan Hari Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung pada 22 Julai ini di Miri.

Selain itu, beliau turut membentangkan perkembangan terkini persiapan sambutan, termasuk pengisian program yang dirancang bagi memastikan acara bersejarah itu dapat diraikan dengan penuh meriah dan inklusif.