Sarawak perluaskan jalur lebar

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) masih lagi mengadakan rundingan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperluaskan liputan Rangkaian Jalur lebar (MySRBN) di negeri ini dengan menggunakan infrastruktur menara Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, perbincangan yang diadakan menunjukkan reaksi positif antara kedua-kedua pihak.

“Keperluan untuk meluaskan capaian Internet terutamanya kepada penduduk luar bandar akan melebarkan peluang untuk mereka menyertai pelbagai aktiviti ekonomi,” katanya merasmikan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Bersepadu @ Sarawak (BDI@SARAWAK) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Menurut beliau, mereka yang terlibat dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di luar bandar dapat terlibat aktif pada masa hadapan sekiranya kemudahan kesalinghubungan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

“Setakat ini, Sarawak menggunakan menara SMART yang dibina oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), dan sedang berbincang dengan MCMC supaya menara JENDELA juga dapat digunakan,” katanya.

Julaihi berkata, kempen MySRBN yang dilancarkan di Pulau Bruit baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk luar bandar.

Turut hadir, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.