TOKYO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Tokyo, Jepun hari ini bagi lawatan kerja rasmi dua sempena Persidangan Hidrogen Dunia Asia 2025.
Beliau bersama rombongan Kerajaan Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabanga Narita, Tokyo pada jam 5.25 petang waktu tempatan.
Mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Menyambut ketibaan beliau di hotel penginapan ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Premier Sarawak akan berkongsi mengenai visi tenaga hijau Sarawak dengan menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Sarawakâs Hydrogen Vision: Catalysing Green Growth for ASEAN and Beyond’ esok.
Ucaptama beliau akan memfokuskan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak yang terkini, strategi bersepadu pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kerjasama awam-swasta, serta pelaburan dalam teknologi hidrogen, merangkumi penyelesaian mobiliti hingga kepada potensi eksport masa hadapan.
Penyertaan Premier Sarawak di Arena antarabangsa mencerminkan pengiktirafan yang semakin meluas terhadap peranan kepimpinan negeri itu dalam menerajui masa depan tenaga bersih di Asia.
Premier Sarawak akan menyertai perbincangan panel iaitu menyelaraskan sokongan dasar hidrogen di seluruh rantau Asia Pasifik (APAC).
Beliau akan disertai oleh Ketua Pengarah Dasar Antarabangsa bagi Keberneutralan Karbon, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun, Shinichi Kihara, Penasihat, Kementerian Tenaga, Arab Saudi, Osama Melebari dan Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Demokrasi, Masyarakat dan Teknologi Baharu, Taiwan, Dr. Tsaiying Lu.
Untuk rekod, Persidangan Hidrogen Dunia Asia 2025 menghimpunkan para peneraju global dalam bidang hidrogen bagi mempercepat peralihan ke arah ekonomi hidrogen bersih di seluruh Asia.
Manakala pada sebelah petang, Premier Sarawak akan mengadakan pertemuan bersama pihak Sumitomo.
Premier Sarawak dijadual berlepas pulang ke Kuching pada Jumaat.
