SARATOK: Deretan pondok tradisi sementara dikenali sebagai ‘langko’ mula didirikan penduduk setempat di sepanjang Tebingan Sungai Krian sempena Pesta Saratok 2025.
Ini bagi acara utama pesta terbabit iaitu perlumbaan perahu Regata Kalaka yang bermula Jumaat ini.
Penduduk dari pelbagai rumah panjang dan perkampungan sekitar Saratok telah datang ke tebingan sungai itu beberapa hari lalu dan bertungkus lumus membina langko masing-masing.
Langko ini menjadi tempat mereka bermalam, bersantai, dan berkumpul sambil menikmati suasana pesta yang penuh warna-warni.
Tinjauan hari ini mendapati beberapa langko telah siap dibina, dan penghuninya sibuk mengatur ruang untuk keselesaan keluarga dan rakan-rakan.
Ada juga yang mengambil inisiatif menjual makanan dan minuman di hadapan langko mereka yang menambah lagi suasana ceria di tebingan sungai.
“Kami sangat menantikan saat-saat ini setiap tahun. Ini waktu untuk kami berkumpul, berbual, bergelak ketawa dan menyokong pasukan perahu masing-masing,” kata seorang penduduk yang sedang menyiapkan langko bersama ahli keluarganya.
Kebiasaannya sebaik sahaja semua acara berakhir, pondok-pondok ini akan mereka dirobohkan.
