KUCHING: Sarawak menjalinkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Pengasuh Berdaftar Malaysia (NASIM) dan Tokyo Education & Inclusion Consultancy (TOEIC).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menerusi kerjasama itu NASIM dan TOEIC menawarkan sistem sokongan diperlukan para pendidik kanak-kanak keperluan khas di Sarawak.
“Mereka memerlukan latihan khusus untuk memahami cara mendidik anak-anak istimewa ini secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi NASIM dan TOEIC di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC), di sini, hari ini.
Fatimah berkata, antaranya melalui program “Noise Special Needs” dimana NASIM memberi pendedahan kepada pendidik mengenai modul pembelajaran khas serta kepentingan intervensi awal yang menyeluruh.
Katanya, NASIM telah menjalankan latihan asuhan kepada ibu bapa sejak 2023, kini memperluas skop dengan memberi penekanan kepada keperluan khas kanak-kanak.
Sementara itu, Presiden NASIM, Syamsinah Che Shariff berkata, kursus khas untuk pengasuh dan ibu bapa yang menjaga kanak-kanak berkeperluan khas akan diadakan di Hotel Serapi, di sini pada 9 hingga 10 Ogos depan.
