PUTRAJAYA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-146 serta pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, di sini, hari ini.
Premier tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Kuching pada jam 9 pagi.
Beliau turut diiringi Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, jam 10 pagi dan berakhir jam 12.40 tengahari.
Sejurus selesai mesyuarat, Premier Sarawak bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri di pejabat beliau.
Sementara itu, memetik hantaran di akaun Facebook rasmi Perdana Menteri, memberitahu, mesyuarat ini merupakan platform penting yang memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri khususnya dalam menyelaras dasar serta inisiatif pembangunan secara bersama.
“Melalui sinergi ini, kita dapat memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara berjalan lancar, menyeluruh dan inklusif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Malaysia secara keseluruhan,” kata Perdana Menteri.
GAMBAR:SARAWAKKU
