KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) memberikan tumpuan terhadap pengurusan wakaf yang lebih sistematik demi pembangunan ummah.
Beliau yang juga Yang DiPertua PERKIM menegaskan tumpuan kepada pembangunan wakaf ini menjadi asas untuk PERKIM memberikan kebajikan kepada mereka yang tidak mampu.
“Antara yang saya boleh kongsikan di Sarawak, kita dah mulakan yang mana masyarakat Islam yang ingin bersama-sama dalam pembangunan Islam, boleh wakaf batu bata untuk pembinaan masjid.
“Masyarakat boleh mewakaf barangan dan setakat ini pelaksanaannya berjalan baik di Sarawak,” katanya pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM di Kuala Lumpur petang tadi.
Ia merupakan mesyuarat kali pertama dipengerusikan oleh Premier Sarawak setelah dilantik sebagai Yang DiPertua PERKIM pada 10 Mei 2025.
Dalam ucapannya juga, beliau menyentuh langkah terkehadapan Sarawak dalam memastikan semua tanah yang diwakafkan perlu didaftar dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi mengelakkan sebarang pertikaian di kemudian hari terhadap tanah yang diwakaf.
Terdahulu, ahli Majlis Kebangsaan PERKIM menzahirkan tahniah atas pelantikan Premier Sarawak sebagai Yang DiPertua PERKIM yang baharu bagi sesi 2025-2028.
Mereka yakin dengan ketokohan kepimpinan Premier Sarawak yang berjaya mengemudi Sarawak ke satu tahap yang lebih baik, dapat turut membawa perubahan kepada PERKIM.
Hadir sama, Naib-Naib yang DiPertua Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Muhammad Fitri Abdullah, Datuk Mohd Nakhaie Haji Ahmad dan Yang Teramat Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
