KUCHING: Pemimpin akar umbi khususnya jawatankuasa masjid dan surau serta ibu bapa memain peranan penting menarik remaja untuk mengimarahkan masjid dan surau.
Demikian saranan, seorang ahli majlis tertinggi Hikmah Negeri Sarawak, Ustaz Wan Lukmanhakim Wan Sajali.
Selain itu, katanya golongan itu juga perlu digalak menyertai pelbagai program ilmu di masjid dan surau di kawasan masing-masing.
Menurutnya, program yang diadakan itu bukan hanya berupa ceramah agama, tetapi turut mengadakan aktiviti lain seperti bersukan di kawasan berhampiran masjid dan surau.
‘Saya yakin dengan cara ini ia akan menggalakkan lebih ramai remaja untuk terus bersama merapatkan saf di masjid dan surau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramahnya sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Surau Bidayatul Hidayah, Kampung Batu Perak, di Kota Sentosa dekat sini malam, semalam.
Wan Lukmanhakim yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Amal Care Sarawak (SAC) menjelaskan, beliau tertarik apabila mendapati kebanyakan masjid dan surau di Kuching atau Samarahan kini turut dipenuhi remaja.
Mengenai majlis sambutan Maal Hijrah, Wan Lukmanhakim memuji jawatankuasa Surau Bidayatul Hidayah kerana menganjurkan majlis ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua PBB Cawangan Kota Sentosa dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawn (MPP), Kr Mahmud Dato Sri Ibrahim.
