GUANGZHOU (China): Lawatan kerja teknikal delegasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak ke China merupakan sebahagian daripada usaha menerokai kemajuan teknologi dan amalan terbaik dunia dalam sektor bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan industri udara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, MUT berharap dapat menerokai potensi kerjasama dengan agensi berkaitan atau syarikat di Guangzhou, China.
Potensi kerjasama itu adalah dalam bidang pembinaan keupayaan, projek perintis secara bersama dan mempelajari kemajuan teknologi, katanya dalam mesyuarat kerjasama dengan pemimpin Kerajaan dan ketua-ketua jabatan Gunagzhou.
MUT Sarawak menaruh minat dalam mewujudkan kerjasama dan pertukaran teknikal dengan syarikat-syarikat terbabit, kata Julaihi dalam kenyataan MUT di sini hari ini.
Julaihi sedang mengetuai delegasi MUT Sarawak dalam rangka lawatan kerja teknikal ke Guangzhou, Shenshen dan Hainan China mulai semalam hingga 18 Julai ini.
Lawatan kerja teknikal itu bertujua mengeratkan kerjasama, menerokai teknologi berinovatif dan menimba pengalaman dalam amalan terbaik pengurusan bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan industri udara global di China.
Semasa berada di Guangzhou, delegasi MUT Sarawak itu melakukan lawatan kerja ke tapak kemudahan infrastruktur dan kemajuan teknologi utama iaitu loji rawatan air Nansha Huangge, Shenzhen Pump Storage Power Station, Wenchang International Aerospace City dan China National Space Administration (CNSA).
Lawatan kerja teknikal itu, kata Julaihi, mencerminkan komitmen MUT Sarawak untuk menambahbaik dan berinovasi dalam menyampaikan perkhidmatan utiliti bertaraf dunia di seluruh Sarawak.
Turut menyertai delegasi MUT Sarawak itu ialah Timbalan Menteri MUT, Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti (SEB dan PETROS), Dato Ibrahim Baki, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafro Lias, Pengarah JBALB, Ir. Ts. Awang Mohdf. Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Pengdigital Perkhidmatan Awam Sarawak, Huong Siu Hung, Pengurus Besar SMA, Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, dan CEO SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong.
