BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak berangkat menghadap kebawah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istana Nurul Iman, di sini, pada jam 2 petang tadi.
Sesi pertemuan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha itu berlangsung kira-kira 15 minit.
Suasana penuh mesra dan hormat itu turut menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama, khususnya hubungan antara Wilayah Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud; serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri atas limpah perkenan menghadap.
Mereka juga mendoakan hubungan persahabatan dan kerjasama diplomatik dua hala antara negara Malaysia, khususnya Sarawak, dan Negara Brunei Darussalam akan terus diperkukuh demi manfaat dan kebaikan bersama kedua-dua negara.
