KUCHING: Sarawak tidak berhasrat menggunakan tenaga nuklear dalam rancangan pembangunan sebaliknya mengukuhkan tenaga boleh diperbaharui untuk jangka panjang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana keadaan Sarawak berbeza dengan negeri-negeri lain. Malah, Sarawak sudah memiliki sumber tenaga mencukupi seperti hidro, gas kitaran gabungan dan solar yang dapat dimanfaat tanpa bergantung kepada tenaga nuklear.
“Dengan sumber yang kita miliki ini, saya rasa Sarawak tidak berkehendakkan tenaga nuklear,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui media selepas Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di Pusat Konvenysen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Abang Johari menjelaskan, Sarawak mahu menjadi pengeluar tenaga boleh diperbaharui dengan sasaran sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dan meningkat sebanyak 15 gigawatt menjelang 2035.
“Tadi saya melihat beberapa syarikat yang melabur di Sarawak termasuk kuasa solar, kalau teknologi ini terus bertambah baik, Sarawak akan menjadi hab tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau juga mendedahkan satu teknologi baharu sedang diterokai oleh pakar tenaga ialah tenaga fusion dari bahan molekul hidrogen dan mungkin lebih murah dan selamat dari nuklear.
“Ia juga memerlukan juga hidrogen daripada air dan kita ada kelebihan dari segi sumber ini,”tambahnya.
