MATU: Penganjuran Taklimat Wakaf dan Kaunter Perkhidmatan ASNB inisiatif untuk memperluaskan kesedaran wakaf dalam kalangan komuniti luar bandar.
Menyambut baik usaha itu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, wakaf memberi ruang untuk terus menyumbang secara berterusan kepada masyarakat.
“Apa yang paling penting dalam berwakaf bukanlah nilai ringgit, tetapi keikhlasan.
“Wakaf memberi ruang untuk kita menyumbang secara berterusan kepada masyarakat — walaupun dengan jumlah yang kecil, ganjarannya di sisi Allah amat besar,” katanya ketika berucap pada majlis itu, semalam.
Justeru, beliau menggesa agar lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti kampung menyemarakkan budaya memberi dan berkongsi rezeki, khususnya melalui platform yang diurus secara telus dan sistematik seperti Wakaf ASNB.
Lebih 100 peserta daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Persatuan Perempuan Wawasan (PPWS) Daerah Matu l menghadiri Taklimat Wakaf dan Kaunter Perkhidmatan ASNB di Matu.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara ASNB Sibu, PERKIM dan PPWS Matu bagi memperkenalkan konsep wakaf moden melalui instrumen pelaburan unit amanah kepada masyarakat setempat.
Ia turut menyediakan kaunter perkhidmatan khas ASNB untuk memberi penerangan lanjut serta membantu proses pendaftaran wakaf dan pelaburan kepada peserta yang berminat.
