Daro model pembangunan luar bandar berjaya – Abdul Karim

DARO: Kemajuan pesat yang dicapai Daro dalam tempoh singkat mencerminkan keupayaan Kerajaan Sarawak merancang dan melaksanakan pembangunan secara menyeluruh dan berkesan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Daro kini boleh dijadikan model pembangunan luar bandar yang berjaya, sama seperti Samariang dan Asajaya yang pernah menyaksikan perubahan ketara semasa era pentadbiran Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Jambatan Muara Lassa yang merentasi Batang Lassa telah siap sepenuhnya. Dulu tiada masjid besar, kini sudah ada. Pasar Tani pula akan dibina tidak lama lagi. Semua ini menunjukkan perubahan ketara dalam masa yang singkat,” katanya ketika merasmikan Pesta Daro 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, penganjuran pesta seumpama ini bukan sahaja memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum, malah menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan negeri.

“Kementerian saya sentiasa menyokong penganjuran program komuniti yang memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Abdul Karim turut melancarkan projek pembinaan Pasar Tani Daerah Daro yang membabitkan kos kontrak sebanyak RM11.97 juta dengan siling projek berjumlah RM15 juta.

Projek itu dijangka siap pada Februari 2027 dan akan menempatkan sebanyak 130 unit gerai penjaja, yang bakal memberi manfaat besar kepada ekonomi setempat.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; serta beberapa tetamu kenamaan lain.