INDONESIA: Delegasi dari Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menganjurkan majlis makan malam jaringan strategik bersama Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) sebagai sebahagian daripada lawatan kerja rasmi ke Balikpapan dari 25 hingga 27 Julai 2025.
Majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Balikpapan itu bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan dua hala serta membuka jalan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih erat antara Sarawak dan Kalimantan Timur.
Majlis diadakan sempena penganjuran ‘Sarawak Connects Fair 2025’ dan telah menghimpunkan pemimpin dari kedua-dua pihak bagi membincangkan peluang bersama yang dapat dimanfaatkan.
Dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, jaringan strategik ini juga menjadi platform penting untuk mengetengahkan keupayaan Sarawak dalam pelbagai sektor serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Penyertaan Sarawak di Balikpapan mencerminkan hasrat strategik wilayah ini untuk menyelaraskan perancangannya dengan pembangunan pesat Nusantara, ibu negara baharu Indonesia yang terletak hanya beberapa jam dari Balikpapan.
Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur dan pelaburan di Kalimantan, syarikat-syarikat dari Sarawak dilihat bersedia untuk menyumbang secara signifikan dalam transformasi rantau tersebut.
Usaha ini sekali lagi menzahirkan komitmen Sarawak untuk menjalin bukan sahaja kerjasama perdagangan, tetapi juga hubungan budaya dan diplomatik.
Hadir sama, isteri Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
