Mangsa kebakaran Kampung Tengah Simanggang dibantu

SIMANGGANG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menyantuni mangsa kebakaran Kampung Tengah Simanggang di sini, malam tadi.

Mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, dekat Jalan Stawang.

Hadir mengiringi menteri ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor bagi memberi sokongan moral kepada mangsa.

Nancy dalam kenyataan berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan bantuan bernilai RM66,900.

Bantuan tersebut merangkumi wang saku, pakaian, peralatan dapur, keperluan sekolah, bahan binaan dan pelbagai barangan keperluan harian.

Selain itu, Yayasan Kebajikan Negara turut tampil memberi sumbangan ehsan kepada mangsa.

Setiap ketua isi rumah (KIR) turut menerima bantuan Tabung Bantuan Segera berjumlah RM300.

“Semoga Allah S.W.T. mempermudahkan segala urusan dan bantuan ini meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kebajikan mangsa kebakaran.

Dalam kejadian Selasa lalu, seramai 21 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Seri Lemanak, dekat Jalan Stawang, ekoran kebakaran di Kampung Tengah Simanggang.

Kebakaran sekitar jam 12.14 tengah malam itu memusnahkan empat rumah sepenuhnya, manakala dua lagi kediaman mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus.