Unit khas laksana dasar inklusif dipersetujui, perkasa peranan wanita

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju dengan cadangan menubuhkan satu unit khas di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) untuk menjayakan dasar inklusif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, unit itu kelak akan memperkasakan lagi peranan wanita dalam membantu membangunkan bidang pendidikan, kesihatan, pentadbiran dan sektor pertanian.

“Ini sejajar dengan dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya pada majlis sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 bertemakan ‘Kepelbagaian, Kesaksamaan, Ekuiti dan Inklusif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Unit itu apabila ditubuhkan kelak mungkin adalah yang pertama di negara ini dan berfungsi menjayakan dasar inklusif mewujud masyarakat hidup sama rata, katanya.

Sambil menghargai peranan golongan wanita dalam membantu membangunkan negeri, beliau menzahirkan rasa bangga atas sambutan menggalakkan golongan wanita dalam membangunkan sektor pertanian di Sarawak.

“Oleh kerana golongan wanita sangat responsif dalam sektor pertanian, justeru kerajaan harus memberi galakan kepada mereka menggunakan teknologi untuk membangunkannya,” tegas beliau.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan memberi pendidikan percuma kepada anak-anak cemerlang melanjutkan pengajian di universiti tempatan adalah sebagai langkah membantu orang kampung (nelayan dan petani) meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi.

Secara tidak langsung, katanya, ini boleh membantu membasmi kemiskinan apabila anak-anak yang keluar dari universiti termasuk menambah golongan wanita mendapat pekerjaan dengan gaji yang tinggi.

Abang Johari pada majlis itu turut meluluskan cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah yang turut berucap untuk menaja tiga wanita mendapatkan ijazah PhD dalam kepimpinan melalui Yayasan Sarawak.

Hadir sama Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.