D2EI martabat kepimpinan wanita – Fatimah

KUCHING: Jabatan Wanita dan Kelarugas Sarawak (JWKS) mengambil langkah proaktif dengan penubuhan unit khas D2EI (Diversity, Equality, Equiti dan Inclusivity) bagi mencapai matlamat D2EI.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, matlamatnya untuk memartabatkan kepimpinan wanita dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif.

Sebagai permulaan, KPWKK menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi utama bagi mengukuhkan hala tuju dan pelaksanaan inisiatif itu, katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 di sini hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 itu yang dihadiri oleh lebih 800 wanita dari seluruh negeri ini.

Organisasi yang menjalinkan kerjasama itu adalah seperti United Nations Population Fund (UNFPA), 30% Club, dan ASIAN Women Leadership University College (AWLUC), katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JWKS memohon sokongan dan biasiswa daripada Kerajaan Sarawak untuk membiayai pengajian bagi tiga wanita mengikuti program Ijazah Sarjana Kesenian Pembangunan Kepimpinan di AWLUC.

Pembiayaan pengajian itu akan memperkasakan bakat wanita tempatan dalam bidang kepimpinan dan memberi sumbangan kepada pembangunan di Sarawak, tegas beliau.

Satu lagi inisiatif penting yang sedang dibangunkan ialah penubuhan Sarawak Women Leadership Chair (SWLC), katanya.

Fatimah turut memohon kelulusan daripada Kerajaan Sarawak untuk JWKS menubuhkan Women Entrepreneur Dashboard Model dengan meningkatkan penggunaan ekosistem digital Sarawak sendiri di bawah MINTRED.

“Kekuatan utama dashboard ini ialah keupayaannya untuk menyelaras data usahawan wanita dengan masa yang tepat, dan dengan adanya sistem ini, penggubal dasar dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan bersandarkan data, sambil memperkasakan usahawan wanita,” katanya.