KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak menerima baik konsep Malaysia MADANI.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, sebagai solidariti bersama Kerajaan Pusat demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama dalam Persekutuan Malaysia.
“Semangat ‘Segulai Sejalai’ dan konsep MADANI yang kita junjung bersama ini bukan sekadar retorik politik, tetapi janji yang kita tunaikan melalui setiap tindakan nyata yang diambil kerajaan.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima baik konsep tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2025 di Kompleks Sukan Satok @ Padang SLPAS, di sini, hari ini.
Selain itu katanya, bertepatan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, ia amat signifikan kerana menekankan prinsip MADANI sebagai teras pembangunan negara melalui nilai kemampanan, kemanusiaan dan keadilan sosial.
“Kesesuaian tema ini menunjukkan keprihatinan kerajaan pusat yang amat kami hargai, sekali gus membuktikan kerjasama erat antara kerajaan sarawak dan Kerajaan Pusat dalam memakmurkan sosioekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau menggesa agar masyarakat Sarawak untuk bersama-sama menyambut Kempen Kibar Jalur Gemilang tahun ini dengan penuh semangat patriotik dan mengibarkan bendera kebangsaan di setiap pelosok negeri ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak mewakili Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Abdul Samat Gany.
Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan mewakili ADUN N.6 Tupong, Dr. Zaiedi Suhaili; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Muhammad Najmi Mustapha, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta tetamu yang lain
