KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Expo Osaka 2025 di Osaka, Jepun.
Menurut kenyataan media PUSAKA, MoU terbabit bagi membangunkan ladang buluh komersial di kawasan lesen hutan tanaman di Sarawak untuk
memenuhi keperluan bahan mentah Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.
Majlis disempurnakan Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah dan Timbalan Presiden Pertama Ferroalloys Sdn Bhd, Yuki Nakamura ketika acara “Sarawak Week 2025” yang bertemakan “Sustainability for Tomorrow”.
Majlis disaksikan Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (II) Sarawak, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Pengerusi PUSAKA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Secara keseluruhan, nilai pelaburan yang dijangka hasil daripada MoU ini sekitar RM200 juta dan akan dilaksanakan secara berperingkat,” menurut PUSAKA.
Melalui perjanjian ini, PUSAKA akan membantu Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dalam mengenal pasti kawasan ladang hutan yang sesuai untuk penanaman buluh, menyediakan benih buluh berkualiti, serta memberikan khidmat teknikal dalam pengurusan sumber buluh.
