UNIMAS santuni masyarakat Penan

BELAGA: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FMHS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama pelbagai agensi kesihatan mengadakan program jangkauan ke sebuah penempatan pedalaman masyarakat Penan, Kampung Lusong Laku di sini baru-baru ni.

Program itu bertujuan meningkatkan taraf kesihatan, mendidik masyarakat mengenai pentingnya menjaga kesihatan dan membina kesaksamaan sosial suku kaum terpencil di negeri ini.

Agensi kesihatan yang terlibat dalam program itu ialah Kumpulan Sokongan Kanser Payu Dara Sarawak (SBCSG) dan Klinik Kesihatan Lusong Laku.

Antara perkhidmatan yang dihulurkan ialah khidmat jagaan kesihatan penting dan pendidikan kesihatan kepada 100 penduduk yang menjalani saringan, kesedaran dan kegiatan berasaskan kesihatan.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 UNIMAS, program itu diketuai oleh Dr. Melissa Lim Siaw Han, pensyarah FMHS yang turut disertai oleh staf akademik, pakar perubatan dan sukarelawan.

Profesor Dr Paul Cliff Simon dan Dr. Rekaya Vincent Balang bersama pasukan mendidik masyarakat Penan mengenai pencegahan penyakit Malaria.

Pada program itu, mereka menyumbang kelambu dan tikar pencegah nyamuk kepada SK Lusong Laku, manakala Prof. Dr. Tan Cheng Siang, Dr. Andy Hong, Noor Tini Sidik dan Qamariah Zainal Abdin mengadakan saringan HPV dan ceramah kanser servik.