LEADS mampu kurangkan kadar buta huruf di pedalaman

LIMBANG: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Limbang berjaya mengurangkan kadar buta huruf di pedalaman melalui Pendidikan Literasi Kelas Untuk Kemahiran Dewasa (LEADS) di daerah ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pembukaan kelas-kelas itu secara meluas ke pedalaman membantu golongan itu menguasai ilmu membaca, mengira dan menulis (3M) selain kemahiran lain.

“Dianggarkan 100 orang saja terutama golongan dewasa tidak pandai membaca di Limbang. Ini adalah usaha KEMAS dalam membuka Kelas LEADS. Saya meminta KEMAS untuk mencari mereka ini yang ada keupayaan untuk belajar sekali gus mencapai sifar buta huruf,” katanya pada Majlis Graduasi Kelas LEADS, KEMAS, Peringkat Parlimen Limbang, 2025 di Dewan KEMAS semalam.

Hadir sama ialah Pegawai KEMAS Bahagian Limbang Khairul Amree Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Limbang itu menjelaskan, usaha membasmi buta huruf adalah agenda UNESCO di bawah inisiatif ‘Education For All’.

Katanya, pembasmian buta huruf di Malaysia adalah satu matlamat besar kerajaan yang diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan keupayaan kenal huruf dalam kalangan orang dewasa.