Sarawak mampu bina 17 jambatan kerana kebijaksanaan Premier

JULAU: Sarawak mampu membiayai sendiri pembinaan kesemua 17 projek jambatan di seluruh negeri ini hasil kebijaksanaan Premier Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kos pembinaan kesemua jambatan terbabit adalah sehingga RM6.3 bilion.

“Dari mana datangnya duit ini? Dari kebijaksanaan Premier kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Jambatan Nanga Lasi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Uggah menjelaskan hasil kebijaksanaan Premier Sarawak menjana pendapatan untuk Sarawak melalui pelbagai sumber telah membolehkan negeri ini mampu membiayai pembinaan kesemua jambatan terbabit.

Sementara itu, mengenai Jambatan Nanga Lasi, beliau berkata jambatan keluli sepanjang 96 meter bernilai kontrak RM4.7 juta itu bukti nyata bahawa janji kerajaan negeri untuk membangunkan luar bandar sedang diterjemahkan kepada tindakan.

“Kita mahu setiap rakyat Sarawak, tanpa mengira lokasi, menikmati kemudahan moden dan peluang ekonomi yang sama,” ujarnya.