PULAU BRUIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol bimbang terhadap pelaksanaan beberapa projek di kawasan beliau lewat.
Katanya, beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah diluluskan sejak akhir 2023 belum menunjukkan tanda-tanda pelaksanaan sehingga kini oleh agensi pelaksana.
Kelewatan ini tegasnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung dan rumah panjang yang amat mengharapkan kemudahan asas.
“Keadaan begini sangat mengecewakan dan meresah penduduk kampung termasuk penduduk rumah panjang kerana projek-projek kemudahan awam berskala kecil dan sederhana bernilai antara RM250,000 hingga RM450,000 amat diperlukan oleh penduduk untuk aktiviti harian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengagihan Daging Lembu Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha 1446H yang dilaksanakan serentak di Dewan Masyarakat Kampung Semop dan Dewan Masyarakat Kampung Tekajong hari ini.
Katanya, kebanyakan projek yang dilaksanakan melibatkan pembinaan baharu atau menaik taraf jalanraya dalam kampung atau yang menghubungi rumah panjang.
Sementara itu, sebanyak 2,486 pintu rumah di kawasan Semop menerima agihan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Manurut Abdullah, agihan tahun ini melibatkan 16 kampung di kawasan utara DUN Semop, hasil daripada pembelian kira-kira 5,000 kilogram daging lembu korban.
