KUCHING: Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) menjadi simbol perpaduan negara ASEAN serta penghargaan terhadap kekuatan kreativiti serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AIFFA kini berkembang melebihi festival tontonan filem yang menjadi platform untuk menggalakkan kerjasama serantau.
Ia menonjolkan industri yang bukan sahaja menghiburkan jutaan penonton, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi bernilai trilion, katanya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak terus komited kepada industri kreatif yang mampu mengubah pemikiran, menyentuh emosi, dan membina jambatan antara budaya sekali gus memperkukuh kedudukan negeri dalam industri ini.
“Melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, kita terus melabur dalam latihan, pendidikan dan infrastruktur.
“Tidak lama lagi, kita akan membuka pusat seni persembahan kita sendiri dan menjadikan ruang ini sebagai tempat untuk memupuk bakat tempatan serta menyemarakkan masa depan kreatif Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi tayangan rakaman khas ucapan sempena Malam Gala AIFFA di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Abang Johari turut menekankan usaha Sarawak untuk sentiasa berada selangkah di hadapan, progresif dalam aspek penting, serta membina masa depan yang lebih gemilang untuk generasi akan datang.
Dengan kehadiran syarikat penerbangan AirBorneo pada tahun hadapan katanya, ia bakal meningkatkan lagi konektiviti ke seluruh pelosok Sarawak yang akan menyokong pertumbuhan industri kreatif dan pelancongan negeri.
